Perayaan Pra-Gawai Dayak Hari_Gawai

Kini, Gawai Dayak diadakan pada peringkat daerah, bahagian dan negeri di Sarawak. Acara yang memeriahkan suasana perayaan Gawai Dayak sudah tentunya Pertandingan Ratu dan Raja Gawai yang dikenali sebagai Kumang Gawai dan Keling Gawai. Pertandingan ini bermula di peringkat daerah, kemudian ke peringkat bahagian dan kemuncaknya pada peringkat negeri.

Di bandar-bandar, Gawai Dayak diraikan di sesuatu tempat seperti restoran atau hotel. Oleh kerana, ramai kaum Dayak yang akan balik kampung untuk meraikan Gawai Dayak di rumah-rumah panjang masing-masing pada pengujung bulan Mei, program pra-gawai diraikan biasanya pada awal bulan Mei. Pesta Pra-Gawai di bandar-bandar adalah mirip perayaan Gawai Dayak di rumah panjang atau kampung.

Selalunya, sebuah persatuan Dayak atau jawatankuasa gawai akan ditubuhkan di sesuatu daerah atau bahagian. Sebuah tempat akan dipilih dan sejumlah meja akan ditempah dengan tiket dijual kepada orang ramai yang ingin bersama meraikan gawai. Seseorang tetamu khas seperti orang kenamaan akan dijemput yang selalunya akan memberikan derma kepada persatuan Dayak berkenaan. Tuak akan disediakan untuk setiap meja. Makanan dan minuman ditempah dari restoran atau hotel. Makanan tradisi pansoh ayam dan umai akan disediakan oleh komuniti Dayak setempat untuk dikongsi dengan orang ramai. Pokok ranyai akan didirikan. Upacara miring juga dilakukan. Ada tarian tradisi dengan muzik tradisi dipersembahkan. Pertandingan Kumang dan Keling juga diadakan. Pantun boleh juga dinyanyikan oleh seseorang yang pandai atau dimainkan dari cakera padat. Karaoke lagu-lagu Dayak selalunya disertakan. Acara penutupan iaitu menggulung tikar juga diadakan di bandar-bandar.